PERKEMBANGAN TULISAN CINA

Perkembangan Tulisan Cina
Aksara Cina (Cina Tradisional: 漢字, Cina Ringkas: 汉字, pinyin: Hànzì) ialah sejenis tulisan logogram yang digunakan untuk menulis bahasa Cina, Jepun (Kanji), Korea (Hanja) dan pada suatu ketika dahulu, bahasa Vietnam (Hán Tự). Tulisan yang serupa sebelumnya dapat dijumpai sekitar 8000 tahun yang lalu dan sebuah sistem penulisan Cina yang lengkap telah dicipta sekitar 3500 tahun yang lalu di China, membuatnya salah satu cara penulisan yang tertua di dunia. Aksara Cina dikenali sebagai Hanzi dalam bahasa Cina.
Di dalam tradisi Cina, setiap aksara berpadan dengan satu sebutan suku kata tetapi sebutan akan bertukar menurut dialek yang berlainan. Hubungan longgar di antara sebutan fonetik dan sesebuah huruf itu membolehkan aksara Cina digunakan oleh berbagai keluarga bahasa yang berlainan.
Terdapat berbagai gaya, atau skrip, dalam penulisan aksara Cina yang berasal daripada berbagai model kaligrafi dan sejarah. Kebanyakannya berasal dari China dan kini kerap digunakan, dengan perubahan kecil, di semua negara di mana aksara Cina digunakan. Aksara-aksara ini digunakan sejak lebih 3,000 tahun dahulu.
Skrip Tulang Ramalan dan Gangsa tidak digunakan lagi, sementara skrip tertua yang masih digunakan kini ialah Skrip Mohor (Cina Ringkas: ; Cina Tradisional: 篆書; pinyin: zhuànshū). Skrip Mohor berevolusi secara organik daripada skrip gangsa Zhou, lalu diterapkan dalam bentuk yang dipiawaikan di bawah perintah Maharaja China pertama, Qin Shi Huang. Skrip mohor kini hanya digunakan pada mohor kesenian. Kini tidak ramai orang yang mampu membacanya dengan fasih, meskipun seni mengukir mohor tradisional dalam skrip ini masih wujud; sesetengah artis kaligrafi juga memakai gaya ini.
Peringkat-peringkat terawal dalam perkembangan aksara didominasi oleh piktogram, yang mana makna dinyatakan secara langsung oelh bentuknya. Perkembangan tulisan ini yang bertujuan meliputi perkataan bagi konsep abstrak dan meningkatkan kecekapan penulisan, telah membawa kepada kewujudan banyak aksara bukan piktogram.

berbagai jenis aksara ini julung kali dikelaskan kira-kira tahun 100 M oleh seorang pakar bahasa China bernama Xu Shen, yang mengarang kamus etimologi Shuowen Jiezi ( 說文解字/说文解字) yang membahagikan tulisan Cina kepada enam kategori, iaitu liùshū ( 六書/). Sungguh kategori dan pengelasannya kadang-kala bermasalah dan di katakan gagal mencerminkan sifat-sifat sistem tulisan Cina secara menyeluruh, namun sistem ini telah lama dikekalkan melalui sejarah lama.


Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Tulisan_Cina

Comments

Popular Posts